Thursday, May 5, 2011

Memiliki anak berjiwa besar


Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Anak-anak ibarat kain putih, maka ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada nak warna hijau, kuning kedondong, biru laut atau sebagainya.

Begitulah betapa pentingnya tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam pembentukan generasi muda.

Bukan satu perkara yang mudah, kerana melibatkan seluruh aspek dalam sisi kehidupan sebagai seorang penjamin mereka di akhirat kelak untuk dikorbankan.

Ibarat satu pelaburan. Inilah pelaburan akhirat. Yang menuntut penderitaan dan azab di dunia.

Berdiskusi bersama sahabat-sahabat saya tentang bagaimana memiliki anak-anak berjiwa besar.

Kuncinya, ibu bapa hendaklah menjadikan dirinya berjiwa besar terlebih dahulu.

Bagaimana ingin menghasilkan sesuatu yang baik sedangkan sumber asasnya tidaklah begitu baik. Itu ikut hukum logik. Melainkan dengan izin Allah perkara itu akan terjadi.

Bagaimana menjadi seorang yang berjiwa besar?

1. Solat sunat 2 rakaat sebelum azan subuh setiap hari tanpa gagal
2.Membaca Al-Qur'an sekurang-kurangnya 2 muka surat setiap hari tanpa gagal
3. Mendahulukan pengisian hati berbanding pengisian untuk perut. Makanya hati itu perlu diberi sarapan dengan dzikrullah terlebih dahulu sebelum meyuap mulut untuk mengisi perut.
4.Menginfaqkan harta yang paling diperlukan dan paling disukai kepada yang memerlukan. Bukan bersedekah dengan harta yang kita tidak mahu lagi. Ibarat memberi saki baki kepada orang lain
.

Berbicara tentang hal ini dengan belahan jiwa. Mengundang tangis. Nampak seperti mudah. Hakikatnya ingin istiqomah memerlukan kekuatan. Walaupun hanya 2 rakaat solat sunat. Solat sunat dihening pagi yang ikhlas lillahi ta'ala tanpa diiringi unsur-unsur 'ujub, berbangga dengan diri sendiri dan suci. Kesabaran dalam meluruskan niat. Agak berat dan besar pekerjaannya, lagi-lagi menguruskan hati yang selalu berbolak balik yang menghuni di dalam dada.

Bagaimana menjadikan kaleziman membaca Al-Qur'an dengan kualiti yang tinggi. Di mana ayat-ayat yang dibaca itu akhirnya berjaya melepasi tenggorok dan terus laju menyentap hati. Sehinggakan kekerdilan, keinsafan, ketaatan itu timbul dalam diri. Dan melakukan proses pengislahan bukan untuk diri sendiri sahaja, bahkan untuk orang lain juga.

Mengapa tidak mahu menjadikan dzikrullah di dini hari sebagai satu kewajipan? Ibarat menjadikan rutin harian menggosok gigi. Apa rasanya bila seharian kita tak gosok gigi? Terasa tebal di dalam mulut dan tidak selesa. Dahulukan pengisian hati yang menjadi raja bagi seluruh anggota badan. Hak raja mesti didahulukan agar kepimpinan kepada anggota yang lain tulus, lurus dan kudus lillahi ta'ala tak kira la apa yang kita lakukan. Asalkan niatnya lurus, berlandaskan syaria'tullah dan akhirnya kita lakukan dengan bersungguh-sungguh.

Infaqlah apa yang kita sukai, sayangi kepada yang lebih memerlukan. Sebagai tanda kita lebih berkorban atas dasar ukhuwah Islamiyyah yang selalu dilaung-laungkan. Jika kita mencintai seseorang, maka kamu akan memberikan yang terbaik untuknya. Dari infaq yang kita keluarkan, hati kita dapat nilai sedalam mana cinta dan sayang kita terhadap saudara yang memerlukan itu.

Mahu menjadi seorang yang berjiwa besar, mahu memulai perubahan untuk menjadi orang berjiwa besar, mahu memiliki anak-anak berjiwa besar,maka kembalikanlah diri kita kepada tarbiyah Islamiyah. Lebih-lebih lagi dalam suasana kehidupan kita yang mencabar kini. Membelit dan melilit diri kita, menjadikan kita lemas dengan belitan itu, dan akhirnya kita di telan oleh suasana jahiliyyah dan yang tak soleh. Makanya tarbiyah yang berterusan sangat diperlukan.Ayuh!! Islah nafsaka, wad'u ghairuka!!

Wallahu'alam

p/s:memulai perubahan itu, mulailah dari diri sendiri, mulailah dari hal yang kecil-kecil, dan mulailah saat ini. All the best. Moga Allah bantu proses istiqomah kita. [*directly to my belahan jiwa *]

No comments:

Post a Comment